Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) Datuk Seri Mohamad Hasan MBNegeri Sembilan
SEREMBAN - Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dalam peringkat akhir perlaksanaannya dilihat mampu memperkasa pendidikan tahfiz, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, dasar itu yang juga bertujuan untuk memberi jaminan masa depan kepada anak tahfiz ini sekaligus bakal melahirkan huffaz yang profesional dalam bidang seperti sains, teknologi dan juga kemahiran dalam industri.
"Dasar tersebut akan memperkenalkan empat modul kurikulum antaranya ialah Tahfiz Turath, Tahfiz Sains, Tahfiz Dini dan Tahfiz Kemahiran dan akan digunakan di institusi tahfiz untuk menjamin kualiti dan masa depan pelajarnya.
“Di Negeri Sembilan kita sudah lama memberikan perhatian terhadap anak-anak huffaz ini dan kerajaan negeri akan memastikan menjelang tahun 2020 semua sekolah agama di negeri ini akan ada kurikulum bersepadu tahfiz,” katanya dalam ucapan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Untuk Asnaf Dun Rantau di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam laporan akhbar bahawa Dasar Pendidikan Tahfiz Negara ini akan menjadi garis panduan kepada pewujudan pusat tahfiz termasuk milik swasta, kini di peringkat akhir mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
Pada program itu, Mohamad menyampaikan sumbangan kepada 236 orang dari golongan asnaf dan juga bantuan awal persekolahan kepada 26 keluarga bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Rantau.
Golongan asnaf tersebut mendapat sumbangan sebanyak RM200 seorang manakala setiap penerima bantuan awal persekolahan mendapat dua pasang baju sekolah lengkap berserta kasut dan duit belanja melibatkan seramai 71 orang pelajar.
Sumbangan tersebut bernilai RM64,150 diberikan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dengan kerjasama Pusat Zakat Negeri Sembilan. - Bernama
Comments
Post a Comment